SELAMAT DATANG

TERAPI KAUNSELING SK LEREH

TANJONG KLING, 76 400 MELAKA

Tel : 06-3154264
Faks : 06-3154919

‘Segala yang BAIK bermula di Bilik Kaunseling’

MENU

Saturday, August 27, 2011

TERAPI SENI 2

Perjalanan menelusuri minda


LUKISAN memang subjektif untuk ditafsirkan, namun hasil seni dihargai setiap penontonnya. Antara hasil seni yang menarik perhatian penulis.- Gambar SHEFRY MONIZ


ASALNYA, lukisan yang menggambarkan panorama sebuah ladang popi itu dihasilkan semata-mata untuk menambah koleksi muzium. Pengarah Muzium Seni Bremen ketika itu, Gustav Pauli, telah mengeluarkan sejumlah 30,000 mark Jerman untuk membeli lukisan tersebut. Sejumlah wang yang kononnya cukup untuk mendirikan sebuah rumah mewah pada ketika itu telah dibelanjakan semata-mata untuk membeli sebuah lukisan pemandangan karya seorang pelukis pada tahun 1910.

Siapa sangka, lukisan tersebut hanyalah sebuah panorama ladang bunga popi dan telah dilukis dari balik jendela rumah sakit jiwa tahun 1888-1890. Seratus tahun kemudian, nama pelukis ‘gila’ yang meninggal dunia pada ketika umurnya 37 tahun itu telah dikenali seantero dunia dan telah menggoncang fenomena lukisan dunia.
Dia adalah seorang sang pemurung sejati, iaitu Vincent Van Gogh, sebuah nama besar dan legenda dalam industri lukisan dunia.
Seperti manusia yang waras, seseorang yang mengalami gangguan mental juga mampu menghasilkan sebuah karya yang setanding dengan manusia normal.
Bahkan ternyata, nukilan seorang yang kurang waras lebih jujur daripada manusia normal.
Jika sebelum ini, penulis lebih terdedah kepada pelukis-pelukis tersohor seperti Jaafar Taib, Allahyarham Datuk Mohd. Hossein Enas, Abdul Latiff Mohidin, Lai Foong Moi, Zakaria Ali dan beberapa nama besar lain, tetapi kini penulis telah dihidangkan dengan satu dimensi yang berlainan iaitu barisan pelukis yang terdiri daripada yang dikatakan ‘saudara Van Gogh’.

Seni, perosak juga penawar
Pertemuan dengan Fathullah Luqman Yusoff, 36, seorang pelukis, pencipta lagu dan penulis lirik terkenal telah membuka minda penulis tentang betapa seni itu mencakupi ruang yang cukup luas dan kadangkala tidak mampu ditafsir oleh minda penulis sendiri.
Dia yang mahu dikenali sebagai Fatul, menggunakan seni sebagai medium untuk mengekspresi diri dan melontarkan segala ketidakpuasan hati di atas kain kanvas.
Setiap palitan warna yang dipalitkan di atas kanvas tersebut mempunyai makna tersendiri.
Obsesi terhadap seni lukisan dan seni muzik telah menjadikan beliau hidup dalam dunianya sendiri. Benarlah kata bijak pandai, buat sesuatu perkara biarlah berpada-pada, apabila akhirnya lukisan yang dihasilkan memakan diri beliau sendiri.
“Satu hari Allah menarik nikmat berfikir daripada saya, satu malam saya tidak lagi boleh berfikir seperti biasa dan sejak itu saya telah dimasukkan ke wad kerana gangguan mental,” jelas Fatul yang ditemui pada pameran seni di The Annexe Gallery, Pasar Seni, baru-baru ini.
Menurut Fatullah lagi, sebelum ini dia seperti manusia-manusia lain yang menjalani kehidupan seorang yang normal.
Namun, jiwanya sering memberontak mempersoalkan tentang ketenangan abadi.
“Setelah menjalani terapi dan rawatan, saya amat pasti bahawa terapi sebenar ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Sembahyang lima waktu menjadikan diri saya benar-benar tenang dan semakin waras,” jelas pencipta lagu Cinta, nyanyian kumpulan Flop Poppy.
Fatul juga ingin menasihatkan anak muda yang obses terhadap agama agar memperkuatkan dahulu asas agama sebelum pergi ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sebagai manusia biasa yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, kehendak untuk mengetahui sesuatu seperti tasawur Islam memang ada, salah langkah pemikiran boleh menyongsang akibat daripada kekurangan asas ilmu-ilmu agama,” jelas Fatul yang kini aktif dengan kegiatan seni seperti melukis, teater dan muzik.
Menurutnya lagi, jika hendak mendalami sesuatu ilmu yang tinggi darjatnya, asas ilmu itu mestilah kukuh dan kuat terlebih dahulu agar pemikiran dan minda dapat seiring dengan apa yang bakal dipelajari.
Walau ada juga desas-desus yang mengatakan bahawa Fathullah terkena buatan orang, namun dia sendiri tahu punca jiwanya berkocak datang daripada dirinya sendiri yang begitu gelojoh meneroka ilmu yang tinggi darjatnya tanpa asas-asas yang kukuh.
Kini, Fatul kembali menjalani kehidupan seperti manusia biasa walaupun masih menjalani rawatan dengan berjumpa doktor dua kali sebulan dan mengambil ubat.
Kehidupan seninya kini turut lebih bererti dengan adanya pameran seni yang diadakan khas untuk pesakit mental sepertinya.

Perjalanan Menelusuri Minda
Dalam pameran seni yang bertemakan Perjalanan Menelusuri Minda anjuran Jabatan Psikologi Perubatan, Universiti Malaya, dua hasil lukisan Fatul dipamerkan.
Lukisan yang dihasilkan ketika sedang mengikuti rawatan terapi di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, sememangnya tidak dinafikan mempunyai maksud yang begitu mendalam dan subjektif.
Apa yang bersarang di minda, diluahkan dalam bentuk lukisan bagi membolehkan para perawat dan doktor memahami apa yang terkandung dalam isi hati pesakit mental.

Mencari ‘Kembar Van Gogh’
Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil dalam satu temu bual eksklusif berkata, pameran seni yang diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun, adalah kali kedua dianjurkan.
“Pameran lukisan pesakit mental ini diadakan di galeri bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan mental.
“Biasanya seminar, forum dan ceramah diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, namun kita lihat ia tidak begitu memberi impak.
“Justeru untuk mewujudkan kelainan dan dengan matlamat untuk mendekatkan pesakit mental dengan masyarakat maka pameran seni ini diadakan. Kami juga dapati kesannya lebih lagi berbanding seminar dan forum,” jelas beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Psikiatri ASEAN.
Menurut Mohamad Hussain, pesakit mental menghadapi masalah untuk menyampaikan apa yang terbuku dalam perasaan mereka. Jadi, cara untuk menganalisis ialah dengan melukis.
“Apa yang kita lihat, terapi lukisan ini secara tidak langsung mengutarakan pemikiran kreatif. Di samping baik untuk rawatan terapi pesakit mental, kami juga dapat mencungkil bakat mereka.
“Jika kita lihat pelukis tersohor, Vincent Van Gogh adalah seorang pesakit mental yang serius, tapi lihatlah kini hasil lukisan beliau mempunyai nilai berjuta-juta dolar.
“Sebenarnya, ramai lagi ‘Van Gogh’ di kalangan pesakit mental, ini adalah peluang untuk mencungkil bakat mereka,” ujar beliau.
Tidak dinafikan masyarakat ada perasaan takut untuk mendekati pesakit mental ini, jadi dengan pameran ini orang awam boleh turut mendalami perasaan dan pemikiran mereka yang menghadapi gangguan mental.
“Dalam setiap lukisan yang dihasilkan ada mesej yang tersembunyi, ini adalah satu proses memahami pesakit mental kerana batasan dan tingkah laku mereka yang pelik.
“Kalau kita melihat sejarah, lukisan pertama Van Gogh yang dinamakan The Sunflower pernah cuba dijual, tetapi hanya abang iparnya sahaja yang sanggup membelinya dengan harga 30 pence, itupun kerana simpati. Jadi apa yang ingin diutarakan di sini ialah agenda tersembunyi untuk mencipta Van Gogh di kalangan pesakit mental,” jelas beliau yang mahu mengurangkan stigma negatif pesakit mental di kalangan masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Psikiatri Malaysia, Dr. Yen Teck Hoe menganggap seni secara asasnya adalah produk pemikiran dan emosi seseorang.
“Kerja seni dipengaruhi faktor biologi, psikologi, budaya yang perlu difahami berdasarkan konteks sosialnya.
Seni membantu artisnya berhubung dengan dunia luar dalam bentuk luahan perasaan di atas kain kanvas.
Menerusi pameran ini daripada minda pesakit mental ini kami berharap agar ia dapat menggalakkan orang ramai membuat interpretasi mereka mengenai karya seni yang dipamerkan kerana ia dapat membantu kita semua berasa lebih dekat dengan emosi kita sendiri,” jelas beliau dalam ucapan perasmiannya.

No comments:

Post a Comment